Aku juga pernah tenggelam



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuwwaridhwana


Alhamdulillah alhamdulillah tsumma alhamdulillah akhirnya saya berjaya kembali ke arena penulisan kreatif *?* setelah lama meletakkan pena di atas meja *ececeh* . Alasan biasa, sibuk sibuk sibuk dan sibuk dengan urusan dunia dan akhirat *insyaAllah* telah membuatkan saya terlupa yang saya mempunyai blog.

Tajuk yang tak nak kalah macam biasa. Kenapa tiba-tiba nak cerita pengalaman tenggelam ni? Tenggelam dalam laut? Dalam swimming pool atau dalam sungai ?

Sebenarnya, main point entri kali ini adalah mengenai usrah.

Apa pulak kena mengena usrah dengan tenggelam niiiii. Mira ni selalu buat orang pening kepala laaaa.

Eh sabar. Nak cerita lah ni.

Dulu, saya pernah tenggelam dalam lautan jahiliah. Teruk sangat. Sangat. Sangat. Sangat. Sampai tak boleh bernafas. Nyawa - nyawa ikan. Tapi semua ini berlaku tanpa saya sedari walaupun sesaat. Saya gembira bila lemas. Pelik kan? Tapi Allah telah menyelamatkan saya dengan memperkenalkan usrah kepada saya.

Usrah Pertama

Usrah pertama saya adalah ketika saya berada dalam tingkatan 4. Bukan usrah formal, lebih kepada perbincangan dengan kakak - kakak, sahabat dan adik - adik setiap malam jumaat selepas balik daripada menonton televisyen di dewan selera.


Saya mulai tergerak untuk menyertai perbincangan agama dengan kakak - kakak selepas ustaz kami menayangkan sebuah kisah seorang ikhwah yang bermimpi tentang siksaan yang diberikan kepadanya apabila dia meninggal dunia kerana sering lalai dengan perintah Allah. Saya sangat takut apabila saya bilang dosa -dosa saya, tak cukup jari tangan dan jari kaki untuk membilangnya. Semalam malam saya berfikir, apa guna tudung panjang yang aku guna untuk menutup kepalaku? Adakah sekadar untuk menurut peraturan sekolah? Adakah kerana mahu tunjuk baik? Dan pelbagai andaian menerjah fikiran ketika itu. Esoknya, saya ajak beberapa orang untuk belajar dan berbincang bersama-sama kakak-kakak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) tentang pelbagai cabang agama. Kami belajar membaca terjemahan alquran, belajar tafsir, belajar feqah dan sebagainya.

Dan selepas itu sedikit demi sedikit saya faham, setiap peraturan Allah ada hikmahnya. Saya faham mengapa Allah jadikan sesuatu begitu begini, saya faham sirah nabi yang selalu saya ceritakan ketika menyertai pertandingan bercerita dahulu.

Dan alhamdulillah, sehingga kini, saya masih menyertai usrah dan alhamdulillah, ianya merupakan keputusan yang tak akan saya sesali sampai akhir hayat.
Uhibbukunna fillah <3>


Sejarah Usrah

Maksud usrah adalah keluarga. Usrah bermula seiring dengan hadirnya Islam itu sendiri. Pada peringkat permulaan dakwah, ianya dilakukan secara rahsia dalam kalangan mereka yang rapat dengan Rasulullah seperti isteri baginda Siti Khadijah, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abu Talib, Uthman bin Affan dan ramai lagi para sahabat.


Pada zaman dakwah sir(baca rahsia), Rasulullah lebih memfokuskan kepada pembinaan aqidah dalam diri sahabat-sahabat. Semasa zaman dakwah secara rahsia ini, hanya 3 peratus sahaja penduduk mekah yang memeluk agama Islam. Mereka inilah logam-logam yang dibina oleh Rasulullah sebelum menuju ke dakwah secara terang-terangan. Kalau kita perasan, semasa zaman dakwah sir, ayat-ayat yang Allah turunkan ketika itu hanya pendek dan ringkas. Kebanyakan isinya adalah bertujuan untuk penyucian hati yang penuh dengan karat jahiliah.

Oleh itu, Rasulullah pun membuat beberapa pertemuan dengan kumpulan - kumpulan sahabat untuk memgajarkan tentang Islam buat mereka. Antara pertemuan yang femes ames di pendengaran kita adalah pertemuan di rumah Al-Arqam ibni Al-Arqam. Namun ketika itu, ianya belum dipanggil sebagai usrah.


Bermulalah Sistem Usrah Di abad ke 20!

Almarhum Imam Hassan Albanna (1906-1949) merupakan pengasas kepada sistem usrah yang dapat kita lihat sekarang. Beliau mengasaskan sistem ini apabila melihat kepincangan institusi kekeluargaan yang semakin gagal mendidik individu muslim untuk menjadi muslim yang tulen kerana jahiliah kembali menguasai umat Islam sedikit demi sedikit ketika itu.

Menyedari hakikat ini, beliau mengumpulkan mereka-mereka yang ingin berubah dan yang ingin mengubah dan menubuhkan sebuah sistem murabbi-mutarabbi (baca mak/ayah usrah - anak-anak usrah) yang kite kenali kini dengan nama usrah.

Saya rasa OSEM bila berusrah!


Rukun Usrah

Setelah melakukan beberapa survei mengenai maksud usrah kepada beberapa orang, saya mendapati kebanyakan mereka belum mengerti apakah maksud usrah yang sebenar. Oleh itu terjadilah beberapa salah faham mengenai usrah.

"Usrah adalah perjumpaan mingguan yang di dalamnya ada pengisian daripada kakak/abang naqibah/naqib"

"Usrah tu macam ceramah, tapi sikit je ahlinya"

"Usrah tu ada ustaz/ustazah seorang dekat depan lepas tu ajar pasal agama"

"Usrah? Apa tu? Tak pernah dengar pun?"

"Kbai tak nak jawab." *errr*


Hakikatnya usrah bukanlah seperti jawapan di atas malah lebih dari itu. Kalau perjumpaan atau ceramah itu kita tak panggil usrah. Kita panggil daurah yang bermaksud ceramah atau seminar.

Di dalam sebuah tulisan Imam Hassan Al-Banna bertajuk Risalah Sistem Usrah, beliau telah menggariskan tiga rukun usrah seperti berikut dan berpesan kepada mereka yang meyakini fikrah ini,

"Jagalah rukun-rukun ini. Cubalah sedaya-upaya merealisasikannya supaya hubungan ini wujud bukan sekadar kerana satu arahan, sebaliknya ada ruh di sebalik pelaksanaannya".

Rukun-rukun usrah:

(1) Ta'aruf (Saling mengenali)

"Ini adalah rukun pertama. Kenal-mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih-sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya-upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang mulia. Sentiasalah merenungi ayat-ayat dan hadith-hadith berikut. Ingatlah firman Allah SWT:



Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara
(al-Hujurat, 49:10)
Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam)
(Aali 'Imran, 3: 103)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

Seorang mu'min dengan seorang mu'min yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain, tidaklah dia menzaliminya dan tidaklah juga dia membiarkannya.
(HR. Mutafaqqun 'alayh)
Kasih-sayang, belas kasihan dan simpati sesama orang-orang yang beriman ibarat satu tubuh.
(2) Tafahhum (Saling memahami)

Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di astas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya; adakah kamu orang-orang yang taat atau orang yang derhaka.

Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu melihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima-kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman sekalipun terhadap saudara yang dinasihati. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.

Kedudukan kasih-sayang yang dijalin kerana Allah adalah kedudukan yang tertinggi, selain itu nasihat itu sendiri adalah rukun agama ini: 'Agama adalah nasihat'. Semoga Allah memperkukuhkan hubungan sesama kamu dan Allah berikan kamu kekuatan untuk mentaatiNya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada angkara tipu daya syaitan.

(3) Takaful (Saling mengambil berat)

Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda RasuluLlah SAW:

Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahu menunaikan keperluan saudaranya itu, (ia) adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.
Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim, Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.

Allah menyatukan hati kamu dengan ruhNya, Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong."


Mengapa Saya perlu join Usrah?

Saya teringat ketika saya menjadi musyrifah semasa kedatangan adik-adik baru ke bumi anbiya' ini, ada akhawat berpesan, ajak lah adik - adik join usrah. Dan bersedialah dengan soalan, "Mengapa saya perlukan Usrah" . Lalu saya tanyakan kepada diri sendiri, kenapa saya perlukan usrah? Lalu, saya pun dapat jawapan seperti berikut.

1) Menambah Ilmu Pengetahuan

Usrah ni bukan sahaja maksudnya berbincang tentang agama, tetapi tempat kita berbincang apa sahaja bidang ilmu. Nak buat study group sama-sama ke, nak ajar menari ke, nak ajar memasak ke, nak ajar macam mana nak jadi striker futsal yang hebat ke, pendek kata apa-apa sahaja asalkan namanya ilmu yang bermanfaat, maka ianya boleh dikongsi sesama ahli usrah.

2) Mengeratkan Ukhwah

Sesungguhnya ukhwah itu adalah teras keimanan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda,

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”.(Hadis riwayat Imam Ahmad).
Di dalam sesebuah usrah, setiap ahli usrah termasuk murabbi itu merupakan ahli keluarga sendiri. Perlu diingati, dalam diri setiap kita mengalir darah yang sama iaitu darah Nabi Adam alaihissalam. Maka, tak perlu rasa *the awkward moment* dengan adik beradik usrah kita. Kalau dapat dihayati maksud ukhuwah yang sebenar itu, sungguh, kalau boleh sesaat pun kita tak mahu berpisah dengan mereka.

Saya ambil contoh paling mudah, ahli usrah saya sendiri. Baru-baru ini kami terpaksa dipisahkan daripada mama usrah kami untuk lebih mengecilkan kumpulan usrah tersebut. Pada mulanya, amat berat untuk kami semua berpisah. Masakan tidak, kami sudah hampir tiga tahun bersama, hampir semua benda kami lakukan bersama, tinggal sebumbung. Apabila hendak dipisahkan kami berasa sangat sedih.

Tapi mama usrah yang baru pun best jugak! <3 huhu.="huhu." p="p">

Seronoknya makan dalam dulang! [gambar]


3) Perjalanan dakwah dan tarbiyah lebih lancar


Sungguh, bila berada dalam jalan dakwah dan tarbiyah, onak dan durinya sangat tajam. Kadang - kadang rasa nak berpatah balik, rasa down bila tengok keadaan sekeliling yang lebih menjatuhkan kita. Masa inilah rukun usrah yang ketiga diguna pakai.

Ahli usrah bertanggungjawab mendukung kembali ahli usrah yang sedang futur, not literally if you may ask. Berikan semangat kepada mereka sebanyak yang mungkin untuk mereka terus kukuh dijalan ini. Berikanlah mereka kekuatan untuk terus mengikis jahiliyah yang terlalu banyak dan lama berkarat di hati. Kita nak masuk syurga bukan sorang-sorang bukan?

4) Melembutkan yang keras.

Specifically ditujukan buat lelaki-lelaki dan segelintir wanita-wanita yang tinggi egonya, kuat barannya, keras lidahnya. Menurut pemerhatian dan pengalaman peribadi, usrah berjaya mengubah mereka yang keras hatinya untuk lebih menerima pendapat orang lain, daripada si bengis menjadi sang pencinta kitab agama, si bisu menjadi ustaz dan ustazah!

Contoh mudah, seorang adik junior, sebelum menyertai usrah, hidupnya diselaputi jahiliyah yang sangat menakutkan. Tak perlulah saya ceritakan apa yang dilakukan untuk menjaga aib adik ini. Pada mulanya, dia enggan untuk menyertai usrah. Pelbagai alasan yang diberikan olehnya. Suatu hari, dia mengajak sahabatnya untuk keluar makan. Tiba-tiba azan isyak berkumandang. Sahabatnya mengajaknya solat di masjid dahulu. Namun dia menolak dan mengatakan "ala, boleh solat bila balik nanti,". Sahabatnya pun dengan berat hati menurut kehendaknya. Semasa mahu turun dari tangga, sahabatnya berkata, "ya Allah, aku belum solat isyak lagi. Jangan Kau ambil nyawaku selagi aku belum selesai kewajipanku. Aku taknak kena seksa ya Allah". Adik ini tersentap. Dia kembali ke ke dalam rumah dan terduduk di atas katil dengan air mata bergenang. Sahabatnya terpinga-pinga dan segera menuju ke arahnya. Tanpa dipinta, adik ini terus memeluk sahabatnya dan meminta sahabatnya menerimanya sebagai ahli usrah yang baru. Sejurus kemudian, mereka berdua terus sujud syukur dan beriringan menuju ke masjid. Makan malam pada malam tersebut merupakan pertemuan pertamanya dengan ahli usrah barunya.

Beberapa bulan kemudian, dia banyak berubah. Daripada seorang yang mudah menyebut perkataan tidak elok, dia sering memberi tazkirah kepada sahabat-sahabat. Dan banyak lagi perubahan yang terjadi kepadanya.

Dia sudah mencuba. Anda bila lagi?

5) Menjadikan diri lebih berani

Apabila berada dalam usrah, anda tak perlu rasa takut kerana ada superman/superwoman lain yang mengelilingi anda untuk menguatkan anda. Menyertai usrah itu sendiri adalah tindakan yang berani kerana anda telah keluar dari zon selesa diri anda untuk mencabar diri anda sama ada anda mampu memimpin, dipimpin, memberi pendapat, mengenali orang lain dan sebagainya.

6) Mengikut sunnah Rasulullah

Seperti yang diterangkan di dalam sejarah usrah. 

7) Sentiasa dilindungi

Sungguh berbeza apabila anda menyertai usrah dengan mendengar ceramah biasa. Bila anda mendengar ceramah biasa, ustaz/ustazah tidak akan check semula "awak dah buat ke apa yang saya cakap", "harini dah baca quran belum", "awak sihat tak hari ni" selepas daripada ceramah beliau. Tetapi dengan sistem usrah, kakak/abang naqibah/naqib akan always remind dan tanya kita bagaimana keadaan iman kita bukan sahaja sejurus selepas usrah/daurah diadakan, malah hari-hari, ada sahaja ayat penguat hati bila kita makin futur, makin lalai. Kadang-kadang tak sempat nak buat nakal, kakak naqibah macam ada instinct terus hantar ingatan dekat wall facebook. Kadang-kadang tak sempat cakap kita sedih abang naqib call tanya khabar, untung-untung hantar KFC delivery "special for my akhi". Kan sweet macam tu!

8) Tak rasa keseorangan

Kehidupan dekat oversea, homesick adalah penyakit utama yang sangat mudah berjangkit. Kalau bukan dekat oversea pun, duduk berjauhan dengan keluarga sangat memberi kesan kepada hati. Ahli usrah inilah bertindak menggantikan ahli keluarga untuk mengubat rindu.

9) Persediaan untuk mendirikan rumah tangga dan memantapkan rumah tangga

Bila berusrah, kita akan belajar banyak benda. Mudahnya, usrah ini banyak mematangkan cara kita berfikir, mendidik kita untuk hidup berdikari dan hidup berkeluarga. Tak ada, orang yang mahu rumah tangga yang kucar kacir. Jadi, dengan menyertai usrah, kita belajar menjadi suami dan isteri yang baik mengikut acuan syariat.

10) Paling penting, persediaan bertemu Allah.

Kalau kita benar-benar menghayati suasana usrah itu sendiri, kita akan faham yang akar umbi penubuhan sistem usrah ini akhirnya kembali kepada persedian kita untuk menghadap yang maha Esa, Allah azza wajalla dengan syarat, setiap hembus nafas, setiap gerak dan rentak kita, kita tujukan demi mengharap redha Allah. InsyaAllah, sistem usrah ini hadafnya adalah sepenuhnya mengharap redha Allah subhanahu wata'ala.


Usrah sampai jannah! <3 td="td">

Penutup

Usrah bukanlah kewajipan, namun ianya merupakan antara wasilah paling baik untuk mereka yang sedang mencari - cari sinar hidayah dalam selaput zaman jahiliah masa kini.

Ingatlah, masa itu tidak menunggu kita. Hidayah itu perlu di cari, bukan ditunggu. Dan menyertai usrah adalah salah satu cara mencari hidayah itu.

Ajaklah rakan-rakan kita untuk sama-sama berubah. Kita lebih mudah bergerak bila bersama klik kita.

Sebelum saya mengakhiri kalam saya, saya tinggalkan anda dengan tiga buah video yang berjaya membuat saya menitiskan air mata. Selamat menonton!





Majulah usrah demi Islam! InsyaAllah.

Maassalamah.










like la like la :D